Monday, January 4, 2010

Lafzuljalalah = "Allah"

YM Ustaz Hasrizal,
Assalaamu'alaikum Ustaz,
Saya mengikuti Kuliah Maghrib Ustaz di Surau An-naim tadi (4/1/2010). Saya telewat sampai dan ketika saya sampai Ustaz telah separuh jalan, jadi saya telah tidak berkesempatan untuk mengikuti ulasan Ustaz berhubung isu "Allah" yang sangat panas dibincangkan di semua media massa sekarang ini. Itu pun saya tak pasti apakah Ustaz membuat ulasan yang panjang lebar. Walaupun di akhir kuliah Ustaz membuka peluang untuk membuat soalan saya telah teragak-agak, bimbang Ustaz telah pun membuat ulasan yang jelas, saya nak bertanya pulak, kan tak manis.
Sebenarnya saya masih teragak-agak untuk menentukan sikap. Apa tidaknya, kebanyakan orang yang membuat pandangan adalah dari puak-puak yang sebelum ini tidak memperlihatkan komitmen mereka yang kuat terhadap Islam, contohnya Pemuda UMNO P. Pinang, dan Ketua Penerangan UMNO P. Pinang. Tiba-tiba berapi-api dia. Setelah itu kalau tidak silap saya ada pula seorang peguam yang juga wakil rakyat dari P. Pinang menyatakan penggunaan Allah ini tidak melanggar undang2. Dr. Asri pulak tidak secara tegas menentang. Bahkan menyatakan kalau mahu digunakan haruslah ada garis panduan.
Jadi Ustaz, bagi orang yang jahil seperti saya ini menjadi agak bingung. Pohon beri pandangan Ustaz.
Wabillahilhidayah wa taufiq.
Terima kasih.
Salam hormat,
Husin Pawiro.

1 comment:

Hasrizal Abdul Jamil said...

Assalamualaikum Tuan Haji dan pengunjung Surau dan Blog Surau al-Naim.

Terima kasih atas persoalan yang ditimbulkan. Semasa kuliah tempoh hari, saya telah menyentuh sedikit berkenaan dengan hal ini dalam suasana kita membincangkan Surah al-Kahf sebagai benteng penyelamat dalam konflik di antara Iman dan Materialisma (fitnah intelektual Dajjal). Isunya ialah, keperluan kita untuk melihat isu penggunaan kalimah Allah di dalam The Herald secara yang lebih tersirat berbanding dengan hanya menghukum pada yang tersurat. Itu kehendak Surah al-Kahfi, yakni Muslim mesti menjadi good observant dan tekun melaksanakan contemplation (zikir dan fikir).

Secara tersurat, penggunaan kalimah Allah memang harus diguna pakai oleh Muslim dan non Muslim tanpa sebarang halangan nas. Pendapat ini juga disokong oleh Dr. Yusuf al_Qaradhawi dan Sheikh Wahbah al-Zuhaili semasa mereka berkunjung ke Malaysia.

Justeru pandangan-pandangan yang bersetuju dengan keputusan mahkamah tentang membenarkan penggunaan itu, merupakan pandangan yang berpegang dengan apa yang tersurat.

Tetapi istilah-istilah di dalam Islam, menempuh proses kemasukan dan pengeluaran makna akibat interaksi persekitaran dengan istilah tersebut. Rujukan kita ialah Surah al-Baqarah ayat 104, bagaimana tatkala Yahudi mengejek-ejek Rasulullah s.a.w dengan menggunakan perkataan yang double meaning iaitu RA'INA, Allah melarang penggunaan kalimah RA'INA di kalangan umat Islam, sebaliknya diperintahkan agar menggunakan kalimah UNZURNA dah ISMA'U yang memberikan makna yang sama, tetapi mempunyai konotasi yang bersih daripada fitnah.

Jika kita tidak setuju dengan keputusan mahkamah ini, maka inilah alasan kita. Tidak mahu lafz al-Jalalah yakni ALLAH menjadi double meaning dalam suasana semasa dan akan datang yang banyak fitnah ini.

Mengapa kita mengambil kira pandangan tersirat ini? Sebabnya ialah, kita hairan dengan sikap The Herald yang melanggar authoriti mereka sendiri iaitu Pope di Vatican City malah membelakangkan pandangan mainstream dalam agama Kristian Katholik dan tidak peduli kepada teguran Dr. R. Albert Mohler, Jr.kepada Bishop Muskens yang mahu perkataan Allah diguna pakai dalam preaching mereka.

Bagaimana sebuah institusi Katholik yang sangat menekankan mesej keamanan dan kasih sayang tiba-tiba mengambil jalan agresif melalui mahkamah untuk menuntut hak mereka. Justeru tindakan mereka ini amat meragukan di kedua belah pihak Muslim dan Kristian.

Jadi, seruan saya di surau tempoh hari ialah supaya isu ini dihalusi sebab penentuan sikap bukanlah hanya berdasarkan makna daripada nas, memandangkan semua nas berkaitan adalah bersifat zanniyyah. Sebaliknya isu ini mesti mengambil kira analisa historical, epistemological, theological dan semantic.

Lebih penting, isu ini tidak harus dicemar dengan tanggapan bahawa kalau pro keputusan mahkamah maknanya pro PR dan jika bantar, maka ia pro UMNO - jauh sekali!!!

Itulah serba sedikit rumusan saya. Tetapi memandangkan isu ini menjadi sangat menghuru-harakan keadaan, maka saya berhenti mengulasnya dan mendatangkan artikel lain yang baru saya tulis malam tadi. Ia boleh dibaca di http://saifulislam.com/?p=7371

Wallahu A'lam.