Thursday, December 24, 2009

Ayam Tak Sembelih & Pelacur

Assalaamu’alaikum wbt,
Setelah mendengar kuliah maghrib Ustaz Rahim Saad tadi malam (7 Muharram 1431H bersamaan 23 Disember 2009) saya terpanggil untuk memberikan sedikit komen berhubung dua perkara yang dibangkitkan. Tentunya ulasan saya ini hanya akan dapat diikuti bagi jamaah yang telah hadir sama dalam majlis kuliah maghrib berkenaan.
1. Tentang ayam yang tidak disembelih: Daripada pengalaman saya lebih 4 tahun di Jogjakarta dalam tahun 1970-an, saya dapati masyarakat Muslim disana juga sangat mengambil berat tentang daging ayam yang halal. Mereka juga mempastikan daging ayam yang dimakan haruslah disembelih mengikut cara Islam yang betul.
Sedemikian itu saya merasa amat terkejut apabila Ustaz menyatakan seolah-olahnya masyarakat disana mengambil ringan berhubung penyembeliahan ayam itu sehingga mengatakan yang perlu diperhatikan hanyalah leher ayam saja. Sekiranya ternyata tidak disembelih, cukup sekedar membuang leher itu saja dan bahagian yang lain boleh dimakan. Yang lebih mengejutkan adalah yang mengatakan demikian itu adalah para santri dari Pesantren Gontor yang terkenal itu!
Terus terang saya meragui cerita yang Ustaz bawakan itu. Ingin sekali saya bertanya kepada rombongan yang dikatakan telah pergi untuk berseminar di Pesantren Gontor tersebut. Saya bimbang jika peristiwa yang dibawakan itu tidak benar, ia menjadi suatu fitnah.
2. Yang kedua adalah berhubung seorang supir taksi yang cukup ‘alim tetapi dikatakan menganggap suatu yang biasa, bahawa anaknya yang baru graduate “melacurkan” dirinya sebelum mendapat kerja yang tetap. Terlalu amat sukar bagi saya untuk mempercayai cerita ini. Kerja melacur sesungguhnya dianggap amat hina oleh masyarakat disana, seperti juga kita. Boleh jadi orang kita berkenaan tersilap faham kerana kadang-kadang istilah yang diguanakan itu mempunyai maknanya berbeza dengan kita disini. Saya berikan contoh, ketika di hari pertama saya sampai di Jakarta pada tahun 1971, saya didatangi oleh seorang pengangkut barang, lalu menanyakan saya apa yang saya perlukan. Mungkin saya telah menggamit seorang lain dan beliau mengira saya memanggil beliau. Saya mengatakan saya tidak memanggilnya. Lalu beliau berkata “oh saya kira bapak BUTUH saya”. Terkejut saya dibuatnya. Kemudiannya baru saya tahu butuh itu maknanya PERLU!

Di lain waktu saya terkejut pula apabila perkataan PANTAT digunakan dengan begitu bersahaja, yang rupa-rupanya maksudnya PUNGGUNG, juga “SUP BUNTUT” yang maksudnya “SUP EKOR”. Oleh itu saya amat yakin pemandu taksi itu tidak menyatakan anaknya “melacur” seperti mana yang kita fahami.

Kesimpulan saya adalah berhati-hatilah dalam kita menyatakan sesuatu, apatah lagi dalam satu kuliah yang dihadiri oleh jamaah yang cukup ramai. Silap-silap boleh menjadi fitnah!!

Monday, December 21, 2009

Arwah Hj Kasman dalam kenangan.



(dengan kebenaran)

Pada pagi Isnin 21hb Disember 2009, 4 Muharram 1431, sampailah masa Tuan Hj Kasman untuk kembali ke rahmatullah di Hospital Selayang. Mayat nya telah di bawa ke Kg Baru, Kuala Lumpur, di mana arwah mempunyai banyak saudara mara, dan tempat hidup asal beliau, untuk di sembahyang kan di Masjid Kg Baru dan di semadikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Arwah Tuan Hj Kasman merupakan seorang yang 'regular' di Surau An-Naim, istiqomahnya datang ke Surau tanpa gagal, hujan atau panas, pagi atau petang, sihat atau sakit beliau. Dan pada tiap2 pagi biasanya beliau lah yang mula sampai di Surau untuk membuka pintu Surau, memasang lampu dan kipas, dan beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang kunci bilik 'amplifier'. Kerja ini telah dibuat oleh beliau sehingga ke beberapa hari sebelum beliau dimasukkan ke Hospital Selayang untuk kali terakhir.

Semoga roh beliau di cucuri rahmat oleh Allah SWT.

Innalillah ..................... Al-Faatihah.



Muslims of Wangsa Maju are encouraged to post articles and recordings.